Bulan Mulia



Photo Credit: Talk to Islam
)

Puasa di bulan Ramadan merupakan Rukun Islam yang ke 3. Ia merupakan antara kewajiban yang Allah Subhanahu wa Ta'ala wajibkan bagi setiap yang bergelar Muslim  yang telah ‘aqil baligh dan berakal sihat. Maka sebaliknya, ia tidak wajib bagi orang kafir dan tidak akan diterima sebarang  ganjaran pahala jika ada yang mengerjakannya sampai mereka masuk Islam serta bagi anak kecil sampai dia ‘aqil baligh. ‘ Sepertimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam Surah Al-Baqarah , 2:183 :

Maksudnya:

“Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan puasa ke atas kamu sepertimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kalian agar kamu bertakwa”.

Seterusnya, kita beralih kepada pengertian puasa. Puasa dari segi bahasa bermaksud “ menahan diri “ manakala menurut istilah syara’ adalah menahan diri  dari segala sesuatu yang membatalkan puasa mulai dari terbit fajar hingga matahari terbenam dengan disertai niat puasa dan syarat-syarat tertentu.

Agungnya di bulan mulia ini, wahyu sebagai petunjuk bagi manusia dari kegelapan menuju cahaya telah diturunkan. Ia adalah Al-Quran. Dengan adanya kitab ini, Allah memperlihatkan kepada mereka kebenaran (al-haq) dari kebatilan.  Selain itu, di dalamnya terkandung kemaslahatan (kebaikan) dan kebahagiaan (kemenangan) bagi umat manusia serta keselamatan di dunia dan di akhirat. Semua perintah Allah Subhanahu wa Ta'ala S.W.T yang Dia syariatkan, pasti mengandungi faedah dan manfaat. Allah Subhanahu wa Ta'ala telah berfirman dalam surah al-Baqarah,2:185 :

Maksudnya:

“Bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah…”


Kitab suci ini telah diturunkan pada malam Lailatul Qadar atau Lailat Al-Qadar. Ia merupakan malam khairun min alfi syahrin yang bermaksud sebuah malam yang lebih baik daripada seribu bulan bagi umat muslim. Malam tersebut menjadi rahsia Allah Subhanahu wa Ta'ala,tiada seorang pun Muslim yang tahu akan malam tersebut. Secara realitinya, setiap apa yang dirahsiakan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala itu ada sebabnya ( hikmah ), antaranya supaya umat Islam membesarkan seluruh malam dalam bulan Ramadan, dibimbangi umat Islam tidak beramal dan melakukan kebaikan walaupun sudah tahu malam itu adalah malam al-Qadar serta melakukan maksiat di Malam al-Qadar Selain itu,  agar umat Islam bersungguh-sungguh untuk mencari malam al-Qadar dengan memperbanyakkan ibadat sepanjang bulan . Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta'ala dalam surah Al-Qadr, 97:3 :

Maksudnya:

“Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”

Tambahan pula, dibukanya pintu-pintu syurga dan ditutupnya pintu-pintu neraka di bulan ini manakala syaitan-syaitan dibelenggu . Syaitan tidak mampu untuk menggoda (menyesatkan) manusia, ke arah kemaksiatan, atau memalingkan manusia dari amal shalih, sebagaimana yang syaitan lakukan di selain bulan Ramadan. Ayuh kita berebut peluang keemasan ini untuk menggandakan amalan kebaikan. Pada siang hari, kita melaksanakan kewajiban puasa, dilanjutkan dengan solat tarawih di malam harinya dan membaca al-Quran. Seterusnya, bersedekah dan memberi makan orang yang berbuka terutamanya anak-anak yatim manakala melaksanakan sahur juga pasti mendapat tambahan berkah. Di samping itu, melaksanakan  amalan-amalan ibadah yang diperintahkan pada sepuluh hari terakhir, seperti menghidupkan malam dengan ibadah dengan berqiam, melaksanakan i’tikaf, dan menunaikan zakat dan seumpamanya.

Beralih pula dari sudut sainsnya, dengan berpuasa kita beroleh manfaat untuk tubuh, ketenangan jiwa, dan kecantikan. Hal ini disebabkan semasa berpuasa, organ-organ tubuh dapat beristirehat dan sel dalam tubuh boleh berkumpul untuk bertahan. Disamping itu juga, ia  dapat membuang toksik atau racun dari badan dan secara tidak langsung dapat meningkatkan sistem imunisasi tubuh dalam melawan penyakit, menggantikan sel-sel tubuh yang sudah rosak dengan yang baru serta untuk memperbaiki fungsi hormon, menjadikan kulit sihat dan menajamkan daya ingatan .

Tambahan pula, ketika kita berpuasa, tenaga dan pengaliran darah tertumpu kepada otak. Ini menjadikan otak dapat bekerja dengan lancar dan memberi peluang kepada diri kita untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti yang menggunakan mental dan fizikal yang berkesan. SubhanAllah ! Indahnya tiap apa yang diciptaNya. Bersyukurlah duhai manusia! Selain itu, ia juga dapat manambahkan kesegaran dan kesihatan pada tubuh, kerana perut yang sentiasa bekerja memproses makanan juga perlu berhenti bekerja buat sementara waktu dan sebaliknya, ketika berpuasa itu lah perut kita berehat dan mendapat kesegaran semula untuk bekerja kemudiannya.

Secara tuntasnya, semoga madrasah ini dapat membentuk peribadi seorang muslim yang bersifat mahmudah seperti ikhlas, sabar, melatih rohani dan jasmani. Seterusnya, dalam keindahan bulan ini setiap hela nafas menjadi tasbih, tidur menjadi ibadah, segala amalan diterima dan doa-doa diperkenankanNya. 

Amin ya Rabb.

Comments

Popular posts from this blog

Pantasnya Ia Pergi

Jodoh

Ketagih